Kerjaya kelab Harry_Kane

Tottenham Hotspur

Musim 2010–11

Pada 7 Januari 2011, Kane berpindah ke Leyton Orient secara pinjaman sehingga akhir musim 2010–11.[3] Dia membuat penampilan senior pertamanya untuk Orient pada 15 Januari ketika seri 1–1 dengan Rochdale.[4] Seminggu kemudian, Kane menjaringkan gol senior pertamanya ketika menentang Sheffield Wednesday dimana Orient menang 4–0.[5] Pada 12 Februari, dia menjaringkan dua gol ketika mereka menang 4–1 ke atas Bristol Rovers.[6] Dia mengakhiri musim ini dengan menjaringkan lima gol dalam 18 perlawanan.

Musim 2011–12

Pada 25 Ogos 2011, Kane membuat penampilan pertamanya untuk Tottenham Hotspur di dalam pusingan kelayakan Liga Europa menentang Hearts. Dia kemudiannya membuat enam penampilan di dalam Liga Europa musim ini dan menjaringkan gol Tottenham pertamanya ketika mereka menang 4–0 ke atas Shamrock Rovers pada 15 Disember.[7]

Pada 29 Disember, Kane dan Ryan Mason bersetuju untuk menyertai kelab Championship, Millwall secara pinjaman bermula 1 Januari 2012 sehingga akhir musim.[8] Dia menjaringkan tujuh gol dalam 14 perlawanan terakhir musim itu. Kane menjaringkan sembilan gol dalam 27 perlawanan dan dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Millwall Musim 2011–12.[9]

Musim 2012–13

Kane menghabiskan pra-musim bersama Tottenham di mana dia menjaringkan gol hatrik ketika kemenangan 6–0 ke atas Southend United pada 10 Ogos.[10] Pada 18 Ogos, dia membuat penampilan pertamanya di dalam Liga Perdana Inggeris ketika menentang Newcastle United.[11] Pada 31 Ogos 2012, Kane menyertai Norwich City secara pinjaman semusim dan membuat penampilan liga pertamanya ketika menentang West Ham United.[12] Kane mengalami kecederaan dalam perlawanan Piala Liga menentang Doncaster Rovers.[13] Kane menjalani pemulihan di Tottenham tetapi kembali beraksi untuk Norwich pada 29 Disember. Spurs memanggil semula Kane pada 1 Februari 2013.[14]

Dua puluh hari selepas dipanggil kembali ke Tottenham, ia telah diumumkan bahawa Kane akan menyertai Leicester City untuk baki musim.[15] Dia membuat penampilan pertamanya di tempat sendiri dan menjaringkan gol ketika menentang Blackburn Rovers dimana mereka menang 3–0 pada 26 Februari.[16] Dia membuat 13 penampilan untuk kelab itu dan mereka layak ke separuh akhir play-off sebelum disingkirkan oleh Watford.[17]

Musim 2013–14

Kane menjaringkan gol Tottenham pertamanya di White Hart Lane dalam perlawanan Piala Liga menentang Hull City yang berkesudahan dengan keputusan seri 2–2.[18] Tottenham berjaya menang 8–7 menerusi penentuan penalti.[18]

Pada 7 April 2014, Kane bermain dalam kesebelasan utama buat pertama kali di dalam Liga Perdana Inggeris untuk Tottenham ketika mereka menang 5–1 ke atas Sunderland dan menjaringkan gol liga pertamanya pada minit ke-59.[19] Dia juga menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya, membantu Tottenham untuk seri 3-3 dengan West Brom.[20] Dia menjaringkan gol untuk tiga perlawanan berturut-turut pada 19 April, kali ini membantu Tottenham menang 3–1 ke atas Fulham.[21]

Musim 2014–15

Kane (kiri) bersama Tottenham Hotspur pada tahun 2015

Kane membuat penampilan pertamanya musim ini ketika menentang West Ham United dan membuat bantuan gol kepada Eric Dier.[22]

Dia menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan menentang AEL Limassol di dalam perlawanan play-off Liga Europa.[23] Dia menjaringkan gol ketika menentang Nottingham Forest di dalam Piala Liga dimana mereka menang 3-1 pada 24 September.[24] Pada 23 Oktober, Kane menjaringkan gol hatrik pertamanya untuk Tottenham ketika mereka menang 5–1 ke atas Asteras Tripoli di dalam peringkat kumpulan Liga Europa.[25]

Di masuk sebagai pemain gantian ketika Tottenham menang 2–1 ke atas Aston Villa pada 2 November dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.[26] Dia sekali lagi menjaringkan gol ketika Tottenham menang 2–1 ke atas Hull City.[26] Pada 1 Januari 2015, Kane menjaringkan dua gol ketika Tottenham mengalahkan Chelsea 5–3,[27] dan menjaringkan dua lagi gol ketika menang 3–0 ke atas West Bromwich Albion pada 31 Januari.[28] Kane membuat bantuan gol kepada Christian Eriksen ketika menentang Sheffield United pada 28 Januari, gol yang meletakkan Tottenham dalam perlawanan akhir Piala Liga 2015.[29] Dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris untuk bulan Januari.[30]

Pada 2 Februari, dia menandatangani kontrak baru selama lima tahun setengah bersama Tottenham.[31] Lima hari kemudian, dia menjaringkan dua gol ketika mereka mengalahkan Arsenal.[32] Selepas menjaringkan gol menentang Arsenal, Liverpool dan West Ham United, Kane sekali lagi dinamakan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris untuk bulan Februari,[33] Pada 21 Mac, Kane menjaringkan gol hatrik pertamanya di dalam Liga Perdana Inggeris ketika mereka menang 4–3 ke atas Leicester City.[34]

Pada 5 April, Kane menjadi kapten Tottenham buat pertama kali ketika seri dengan Burnley di Turf Moor.[35] Dua minggu kemudian, dia menjaringkan gol ke–30nya musim ini ketika mereka menang 3–1 ke atas Newcastle United.[36] Kemudiannya pada bulan itu, dia disenaraikan sebagai salah seorang daripada dua penyerang dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA bersama-sama Diego Costa.[37] Dia juga diundi sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA.[38] Pada 24 Mei, dia menjaringkan gol ketika mereka menang ke atas Everton untuk mengesahkan tempat kelima Tottenham di dalam liga. Ia merupakan gol ke–21nya dalam musim ini.[39]

Musim 2015–16

Kane bersama Tottenham Hotspur pada tahun 2016

Nombor skuad Kane ditukar daripada 18 kepada 10 yang sebelum ini dipakai oleh Emmanuel Adebayor. Selepas 748 minit tanpa jaringan, dia menjaringkan gol pertamanya dalam musim ini pada 26 September 2015 ketika Tottenham menewaskan Manchester City 4–1.[40] Lapan hari kemudian, dia menjaringkan gol sendiri ketika menentang Swansea City dimana mereka seri 2–2.[41]

Pada 25 Oktober 2015, Kane menjaringkan gol hatrik untuk membantu Tottenham menang 5–1 ke atas Bournemouth di Dean Court.[42] Lapan hari kemudian, dia menjaringkan gol kelimanya musim ini ketika kemenangan 3–1 ke atas Aston Villa.[43] Pada 8 November 2015, dia menjaringkan gol ketika menentang Arsenal di Stadium Emirates di mana mereka seri 1–1.[44]

Lapan belas hari selepas itu, dia menjaringkan gol kesembilannya dalam enam perlawanan ketika menentang Qarabağ FK untuk membantu Tottenham layak ke peringkat kalah mati Liga Europa UEFA.[45] Pada 19 Disember 2015, Kane membuat penampilan ke–100nya bersama Tottenham ketika mereka menang 2–0 ke atas Southampton. Dia juga menjaringkan gol ke–10nya dalam 10 perlawanan.[46] Seminggu kemudian, dia menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3–0 ke atas Norwich. Dia menjaringkan 27 gol Liga Perdana Inggeris pada tahun 2015 sekaligus memecahkan rekod kelab yang dicipta oleh Sheringham.[47] Pada 10 Januari 2016, dia menjaringkan gol ke–50nya untuk Tottenham untuk mencatat keputusan seri 2–2 menentang Leicester di dalam pusingan ketiga Piala FA.[48]

Kane merupakan Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris untuk kali ketiga pada bulan Mac 2016 selepas menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan. Selepas menjaringkan gol ke–22nya di dalam liga pada musim ini ketika seri 1–1 menentang Liverpool pada 2 April, Kane menjadi penjaring terbanyak kelab di dalam sesebuah musim Liga Perdana Inggeris.[49]

Kane menamatkan musim dengan memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, hanya satu gol mengatasi Sergio Agüero dan Jamie Vardy dengan 25 gol.[50] Dia dinamakan di dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA untuk musim kedua berturut-turut selepas membantu Tottenham menduduki tempat ketiga di dalam liga dan layak ke Liga Juara-Juara UEFA.

Musim 2016–17

Kane berperanan sebagai kapten Tottenham di dalam perlawanan pertama di tempat sendiri dalam musim 2016–17 dimana dia membuat bantuan gol kepada Victor Wanyama untuk membantu Spurs mengalahkan Crystal Palace 1–0.[51] Dia menjaringkan gol liga pertamanya untuk musim itu ketika kemenangan 4–0 ke atas Stoke City.[52]

Pada 14 September 2016, Kane membuat penampilan Liga Juara-Juara UEFA pertamanya ketika Spurs kalah 2–1 kepada Monaco di Stadium Wembley.[53] Empat hari kemudian, dia menjaringkan gol kemenangan ketika mementang Sunderland di dalam liga tetapi terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan.[54] Selepas terlepas lima perlawanan liga dan tiga perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, Kane kembali beraksi ketika menentang Arsenal pada 6 November dimana dia menjaringkan gol untuk seri 1–1.[55] Pada 22 November, dia menjaringkan gol Liga Juara-Juara pertamanya ketika menentang Monaco di Stade Louis II, sebuah perlawanan yang menyaksikan Spurs tersingkir daripada pertandingan dengan kekalahan 2–1.[56]

Pada 1 Disember 2016, Kane menandatangani kontrak baru bersama Tottenham untuk mengekalkannya di kelab itu sehingga tahun 2022.[57] Pada 1 Januari 2017, Kane membuat penampilan ke–100nya di dalam Liga Perdana Inggeris dan menjaringkan dua gol untuk menumpaskan Watford.[58] Di dalam perlawanan pertama selepas kelahiran anak perempuannya, Kane menjaringkan gol hatrik untuk menang 4–0 ke atas West Brom pada 14 Januari.[59] Di dalam pusingan kelima Piala FA pada 19 Februari 2017, Kane menjaringkan kesemua tiga gol untuk membantu Tottenham menewaskan Fulham 3–0. Pada 26 Februari 2017, Kane sekali lagi menjaringkan gol hatrik ketika Tottenham menewaskan Stoke 4–0.[60] Dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Bulanan pada bulan Februari 2017.

Pada 15 April, Kane menjaringkan gol liga ke–20nya pada musim itu ketika menentang Bournemouth. Ini menjadikan dia sebagai pemain keempat di dalam sejarah Liga Perdana Inggeris untuk menjaringkan 20 gol di dalam tiga musim berturut-turut selepas Alan Shearer, Thierry Henry dan Ruud van Nistelrooy.[61]

Pada 20 April, Kane dinamakan di dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA untuk musim ketiga berturut-turut.[62] Dua hari kemudian, dia menjaringkan gol ketika mereka kalah 4-2 kepada Chelsea di dalam perlawanan separuh akhir Piala FA.[63] Di dalam perlawanan terakhir di White Hart Lane pada 14 Mei, Kane menjaringkan gol untuk membantu Tottenham menewaskan Manchester United 2–1.[64] Dengan liga berbaki dua perlawanan, Kane mempunyai 22 gol, dua kurang daripada Romelu Lukaku. Dengan tujuh gol di dalam dua perlawanan terakhir, Kane mengakhiri liga sebagai penjaring terbanyak dengan 29 gol untuk memenangi Kasut Emas keduanya berturut-turut.

Musim 2017–18

Selepas gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan pertama Tottenham, Kane menjaringkan dua gol dalam tiga daripada empat penampilan seterusnya untuk kelab itu dalam semua pertandingan.[65][66][67] Gol pembukaannya ketika menentang Everton pada 9 September merupakan gol ke-100nya untuk kelab itu.[68] Pada 26 September, Kane menjaringkan gol hatrik Liga Juara-Juara UEFA pertamanya ketika kemenangan 3–0 di dalam peringkat kumpulan ke atas APOEL.[69] Kane dianugerahkan Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dan menamakan bulan September 2017 di mana dia menjaringkan 13 gol di dalam 10 perlawanan kelab dan antarabangsa sebagai bulan terbaik dalam kerjayanya.[70] Pada 23 Disember, Kane menyamai rekod Alan Shearer sebanyak 36 gol Liga Perdana Inggeris dalam setahun selepas menjaringkan gol hatrik ketika kemenangan 0–3 di tempat lawan menentang Burnley.[71] Dia mengatasi rekod Shearer dalam perlawanan berikutnya menerusi satu lagi hatrik ketika kemenangan 5–2 ke atas Southampton dan menamatkan tahun tersebut dengan 39 gol Liga Perdana Inggeris.[72] Hatrik berikut yang merupakan hatrik keenam peribadi di dalam Liga Perdana Inggeris pada tahun itu (kelapan dalam semua pertandingan) menjadikannya pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris untuk menjaringkan enam hatrik dalam setahun.[73] Dengan sejumlah 56 gol dalam semua pertandingan pada tahun itu, dia menjadi penjaring gol terbanyak Eropah untuk tahun 2017 dan berjaya memecah dominasi selama tujuh tahun oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak Eropah dalam setahun.[74]

Pada bulan Januari 2018, dia menjaringkan dua gol ketika menang 4–0 ke atas Everton dan menjadi penjaring terbanyak Tottenham di dalam era Liga Perdana Inggeris dengan memecahkan rekod Teddy Sheringham iaitu sebanyak 97 gol Liga Perdana Inggeris untuk kelab tersebut.[75] Pada 4 Februari, Kane menjaringkan gol penalti untuk seri 2–2 dengan Liverpool yang merupakan gol Liga Perdana Inggeris ke-100 peribadi.[76] Dia dinamakan di dalam Pasukan Tahunan PFA untuk musim keempat berturut-turut pada bulan April 2018 bersama Mohamed Salah dan Sergio Agüero.[77] Pada 8 Jun, dia menandatangani kontrak baru yang berkekalan sehingga tahun 2024.[78]